Wakil rakyat, agensi terlibat diarah salur bantuan awal mangsa banjir
ALOR GAJAH 17 April – Semua wakil rakyat dan beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk bersiap-siaga sekali gus menyalurkan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf berkata hujan lebat petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat dan terbaharu membabitkan beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, DUN Taboh Naning, Lendu dan Ayer Limau.
Berikutan itu katanya, beliau mewakilkan Setiauasaha Politiknya, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk turun padang menyantuni penduduk yang terjejas sekali gus menyalurkan bantuan awal terhadap mangsa yang terjejas di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah.
“Saya sendiri sudah mengarahkan setiap wakil rakyat serta semua agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PBT, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat daerah untuk terus bersiap siaga serta menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada mangsa banjir yang terjejas.
“Terima kasih juga atas bantuan awal berbentuk makanan kepada mangsa oleh Japerun Lendu,” katanya menerusi catatan Facebook peribadinya malam tadi.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan rasa dukacita terhadap bencana banjir itu dan mengharapkan semua penduduk yang terjejas tabah dengan ujian yang berlaku.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.