Sorting by

×

Wajar kuat kuasa semula arahan pakai pelitup muka di tempat awam

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Pemakaian pelitup muka di lokasi umum wajar dikuat kuasa semula di negeri ini bagi mencegah gelombang COVID-19 yang seterusnya.

Ketua Penyelidik Kumpulan Komunikasi Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Abdul Rauf Ridzuan berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan lebih awal susulan kebimbangan awam terhadap kemunculan varian baharu ketika ini.

Katanya, tindakan lebih awal diyakini dapat membantu rakyat bersedia untuk kembali kepada norma sebelum ini sementara menunggu keadaan kembali pulih.

“Saya amat menyokong hasrat Kerajaan Negeri untuk menguat kuasa semula arahan pemakaian pelitup muka, malah saya berpendapat ia perlu dilaksanakan lebih awal.

“Ini kerana ia dapat membantu rakyat bersedia memandangkan seperti pelaksanaan pada awal dahulu, rakyat memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pemakaian pelitup muka.

“Jadi, saya percaya, dengan ketetapan lebih awal, ia dapat mengelakkan rakyat berasa janggal dengan ketetapan tersebut dan pada masa sama penguatkuasaan dari semasa ke semasa perlu dilakukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media UiTM Cawangan Melaka berkata, sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka juga perlu mengambil kira kemasukan pelancong asing yang dijangka meningkat sepanjang tahun ini.

Justeru, ujarnya, adalah perlu untuk arahan pemakaian pelitup muka dikuat kuasakan demi mengekang penularan jangkitan yang lebih parah.

“Apa yang saya lihat seperti Pulau Pinang dan negeri lain, ramai rakyat telah mula memakai pelitup muka biarpun tiada penguatkuasaan dilaksanakan, tetapi di Melaka ia masih belum berlaku.

“Perkara ini perlu memandangkan Melaka adalah negeri pelancongan dan kita juga menerima kemasukan pelancongan luar negara khususnya dari China.

“Biarpun demi menjaga hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, kerajaan perlu memikirkan langkah terbaik demi negara ini kerana kita tidak mahu perkara sama berulang lagi, dan seterusnya akan memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2596
Kongsi :
Previous post Korek jalan tanpa kebenaran, pemaju berdepan tindakan keras
Next post Remaja maut motosikal langgar kerbau
Ubah saiz-+=