Sorting by

×

WABAK KUSTA TIDAK MENULAR DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 21 Februari – Melaka tidak merekodkan sebarang kes wabak kusta membabitkan Perkampungan Orang Asli di negeri ini, maklum Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Jelas beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sentiasa memantau dan telah membuat saringan secara berkala membabitkan Orang Asli di seluruh negeri bagi memastikan tiada wabak direkodkan seperti yang berlaku di negeri jiran iaitu Negeri Sembilan.

Pada masa sama, beliau berkata kawalan rapi juga turut dilakukan di Perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran Negeri Sembilan seperti di Bukit Putus, bagi mengelakkan penyakit itu menular.

“Secara rutin, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan mengadakan program membabitkan Orang Asli dan pada sebelah malam, sampel darah mereka akan diambil bagi mengesan sama ada berlaku wabak dan sebagainya.

“Tetapi buat masa ini kita dapati tiada wabak kusta direkodkan, namun kita akan terus berjaga-jaga dan memantau perkembangan kesihatan Orang Asli di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pembedahan Robotik Xi Pantai Hospital Ayer Keroh yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh Tan Yew Aik serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Hee Sem memaklumkan wabak itu boleh berlaku kepada masyarakat Orang Asli khususnya mereka yang sering masuk ke hutan bagi mencari hasil yang boleh menjadi sumber pendapatan.

“Atas faktor kebersihan dan kurang cakna terhadap penjagaan kesihatan, masyarakat ini boleh terdedah dengan pelbagai penyakit termasuk wabak kusta.

“Justeru itu, Jabatan Kesihatan Negeri akan terus mengadakan libat urus, di samping melakukan saringan kesihatan secara berkala untuk mengelakkan wabak ini menular dalam kalangan Orang Asli di Melaka,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sembilan kes wabak kusta termasuk satu kematian telah dilaporkan membabitkan dua Perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dua kampung itu bagaimanapun telah dikuarantin dan kesemua penduduk kini sedang menjalani saringan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post SRA DAN TADIKA JAIM BAHARU DI BACHANG
Next post JEJANTAS TUN TEJA MERCU TANDA BAHARU NEGERI MELAKA