Sorting by

×

W.R.U.R ‘TERANGI’ LAMPU JALAN DI KUALA LINGGI

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

KUALA LINGGI 17 Januari – Sebanyak 123 lampu jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang rosak telah dibaiki sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.UR).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembaikan lampu-lampu jalan itu akan diadakan secara berterusan hasil pemantauan jabatan dan agensi terlibat.

Selain pembaikan, beliau memaklumkan, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada pemasangan lampu jalan di kawasan-kawasan gelap sepanjang DUN Kuala Linggi.

“Kita semenangnya sedang meneliti cadangan-cadangan penambahan lampu jalan di kawasan-kawasan tertentu dan ia akan diselaraskan pihak-pihak terlibat.

“Ada di antara kawasan-kawasan ini di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ada juga di bawah Pejabat Daerah dan Tanah dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi, kita meminta, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memohon kepada Pejabat Japerun untuk kita selaraskan pembinaan lampu-lampu jalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Hameed dalam ucapannya memaklumkan, sepanjang tahun lalu sebanyak lapan projek berkaitan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan Kuala Linggi telah berjaya disiapkan.

Jelas beliau, ia membabitkan projek naik taraf Pejabat Maqis Kuala Linggi dengan kos RM300,000; pembinaan pelantar dan pintu gerbang ke trek pendakian Taman Eko Rimba Tanjung Tuan (RM520,000) dan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan ekopelancongan Taman Eko Rimba Tanjung Tuan (RM230,000);

“Turut disiapkan adalah projek menurap semula Jalan Kuala Sg Baru ke Ayer Molek (M161) Seksyen 3.9-4.0 bernilai RM102,000; pembaikan sistem perparitan Jalan Pengkalan Balak ke Telok Gong Seksyen 0.55-0.65 (RM144,000); pembaikan jalan di selekoh Telok Gong (RM169,000); naik taraf Jalan Masjid Tanah – Kuala Linggi (RM1 juta) dan naik taraf simpang dan lampu isyarat di Pasar Kuala Sungai Baru (RM500,000),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post 175 MASYARAKAT TIONGHOA TERIMA ANGPAU
Next post DUA NELAYAN HILANG DI PERAIRAN PULAU UNDAN
Ubah saiz-+=