Sorting by

×

W.R.U.R PENGKALAN BATU LEBIH MENARIK, BERBEZA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LINGGI 21 Januari – Selepas kejayaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, inisiatif berkonsep turun padang itu akan diteruskan dengan edisi kedua bulan depan.

Pada edisi kedua, W.R.U.R akan berkampung selama dua minggu di DUN Pengkalan Batu pada 2 hingga 15 Februari depan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, untuk edisi kedua, beberapa penambahbaikan akan dilakukan bagi memastikan impaknya sampai kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Penyelaras W.R.U.R memaklumkan, penganjuran edisi kedua juga bakal menampilkan kelainan dengan pengisian lebih menarik khusus untuk penduduk di kawasan itu.

“Saya yakin W.R.U.R di Pengkalan Batu nanti akan lebih menarik kerana ia terletak di kawasan bandar, berbeza dengan Kuala Linggi yang terletak di luar bandar.

“Jadi pendekatan dan pengisian program itu itu akan berbeza memandangkan populasi dan demografi masyarakat itu juga berlainan, namun ada juga program yang akan diteruskan.

“Apa yang penting objektif dan matlamatnya tetap sama iaitu menyantuni denyut nadi rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Menurut Fairul Nizam, segala program dan pengisian untuk edisi kedua akan diatur dan ditentukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin.

Terdahulu, penganjuran sulung W.R.U.R di DUN Kuala Linggi pada 4 hingga 18 Januari lalu telah menjelmakan lebih 40 pencapaian utama merangkumi pelbagai aspek, antaranya pembangunan infrastruktur, kebajikan, pendidikan dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post JALAN BAHARU KUALA LINGGI-AYER MOLEK BERMULA PERTENGAHAN TAHUN INI
Next post W.R.U.R BERI PELUANG MPAG SANTUNI MASYARAKAT
Ubah saiz-+=