W.R.U.R: MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU, INTERNET PERCUMA UNTUK RAKYAT KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 18 Januari – Menara telekomunikasi baharu akan dibina di Kampung Telok Gong, di sini, bagi menambah baik jaringan jalur lebar di kawasan tersebut.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, liputan internet perlahan di kawasan itu menjadi antara masalah yang membelenggu penduduk selama ini dan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) perkara itu dapat diselesaikan.
Menurut beliau, hasil lawatan turun pada bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke kawasan berkenaan, sebuah syarikat telekomunikasi telah bersetuju untuk membina menara telekomunikasi baharu di kawasan tersebut.
“Ini adalah antara pencapaian daripada program W.R.U.R yang dicetuskan Ketua Menteri dan alhamdulillah masalah yang membelenggu penduduk selama ini dapat diselesaikan.
“Jadi saya akan buat tindakan susulan bersama wakil masyarakat di Telok Gong dan MCMC untuk memastikan menara itu berjaya disiap pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Kuala Linggi dan Perasmian Dewan Bakti Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Menurut Fairul Nizam, selain pembinaan menara telekomunikasi baharu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan internet secara percuma di Masjid Al-Aminin Sungai Tuang dan Masjid As-Safwan Kampung Telok Gong untuk kemudahan rakyat.
“Alhamdulillah pada lawatan saya yang pertama bersama SKMM, Melaka ICT Holdings (MICTH) dan Bahagian Teknologi Maklumat & Komunikasi (BTMK) Jabatan Ketua Menteri Melaka sebelum ini, Kerajaan Negeri menambah baik sistem internet dengan meluluskan dua internet percuma di Masjid Aminin Sungai Tuang dan juga Masjid As-Safwan Kampung Telok Gong.
“Internet percuma tersebut adalah di bawah inisiatif Kerajaan Negeri yang mana setiap tahun Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.