W.R.U.R MEDAN PERKASA USAHAWAN
KUALA LINGGI 14 Januari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) menjadi medan buat Kerajaan Negeri memperkasakan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menerusi Ziarah Usahawan W.R.U.R Kuala Linggi, dua usahawan premis pembekal bahan-bahan binaan dan pengusaha produk makanan sejuk beku telah disantuni pelbagai agensi kerajaan bagi mendengar permasalahan dan membantu mereka.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, menerusi program tersebut juga, ia dapat menjadi platform untuk mempromosi dan memperluaskan lagi perniagaan usahawan di negeri ini.
“Kita turun padang dan berjumpa usahawan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengambil contoh di Kuala Linggi ini, ada antara usahawan ini memerlukan dana dan peralatan tambahan bagi perniagaan mereka.
“Di pihak Kerajaan Negeri kita akan cuba bantu dalam pelbagai sudut, sebab itu kita anjurkan Program Jelajah Usahawan Negeri Melaka sejak tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Ziarah Usahawan DUN Kuala Linggi Negeri Melaka di Taman Seri Gamelan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi@Mohd Hasim; wakil SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Melaka.
Dalam pada itu, Allex Seah turut mempelawa usahawan di negeri ini mengambil peluang yang disediakan Kerajaan Negeri dengan menyertai program jelajah usahawan yang diadakan secara berkala di seluruh negeri.
“Menerusi program ini kita akan membawa 13 agensi berkaitan seperti MARA, SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan lain-lain.
“Kita akan sampaikan taklimat mengenai tawaran pinjaman dan bagaimana usahawan di negeri ini mahu mendapatkan bantuan.
“Mereka (usahawan) tidak perlu datang ke pejabat lagi untuk urusan tersebut kerana kita sendiri yang akan datang ke tempat mereka untuk membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.