W.R.U.R: LALUAN BAHARU PENGANGKUTAN AWAM DI KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 14 Januari – Satu peta laluan baharu sedang dimohon Kerajaan Negeri kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, laluan baharu itu akan membabitkan perjalanan dari Kampung Kuala Linggi hingga ke Masjid Tanah.
Jelas beliau, permohonan itu dibuat bagi membantu anak-anak di Kuala Linggi menggunakan pengangkutan awam untuk ke sekolah, memandangkan ia merupakan satu isu yang telah dikenal pasti untuk ditambah baik.
“Isu ini juga telah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah yang berharap masalah berkaitan pengangkutan awam untuk pelajar sekolah dapat diselesaikan.
“Jadi, di pihak Kerajaan Negeri kita sedang menunggu jawapan daripada pihak APAD dan kita berharap perkara ini akan diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, di sini, hari ini.
Menurut Hameed, inisiatif W.R.U.R cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terbukti amat berkesan dalam membantu rakyat di setiap DUN dengan inisiatif turun padang bagi menyelami setiap permasalahan rakyat.
Tambah beliau, dengan membawa semua agensi dan jabatan kerajaan dalam satu program, ia secara tidak langsung dapat memudahkan agihan pelbagai bentuk bantuan, selain turut menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat di sesuatu kawasan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.