Sorting by

×

W.R.U.R: KEMBARA KAK SOM DEKATI MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LINGGI 10 Januari – Kembara Kak Som yang menjelajah ke segenap pelosok Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) akan mendekati dan menyantuni golongan kurang berkemampuan dalam memastikan kebajikan mereka terbela.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, berkata, bersama-sama dengannya dalam siri jelajah itu untuk menyantuni rakyat bukan sahaja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi juga beberapa lagi agensi lain termasuklah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Katanya, pembabitan pelbagai agensi itu perlu bagi memastikan setiap pemasalahan atau aduan diterima ketika siri jelajah dapat diselesaikan dalam tempoh segera.

“Jelajah ini selain menyantuni golongan kurang bernasib baik, kita juga turut menyelitkan advokasi tentang gangguan seksual dan pemeriksaan kanser untuk kaum wanita.

“Selain berkaitan kebajikan dan bantuan, fokus kita menerusi Jelajah Kak Som juga memfokuskan tentang wanita sebab itulah ia melibatkan pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) bersempena W.R.U.R DUN Kuala Linggi yang turut dihadiri Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah, di Kampung Teluk, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Menurut Kalsom, menerusi Jelajah Kak Som juga pelbagai peringkat usia akan disantuni dalam beberapa siri program termasuk ziarah kasih.

“Apabila disebut JKM sudah pasti ia sinonim dengan bantuan selain JKM ini kita menjaga semua orang, untuk itu menerusi jelajah ini kita akan turun ke kampung-kampung dan menyantuni semua termasuklah kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Sementara itu, Kalsom berkata, JKM menerusi Adun Kuala Linggi akan membuat permohonan untuk membantu Mohd Sukery Nordin, 53, yang terlantar akibat lumpuh separuh badan sejak hampir dua tahun lalu menjalani sesi fisioterapi.

“Saya dimaklumkan oleh Mohd Sukery dia hanya membuat sendiri rutin fisioterapi di rumah, ini tidak mencukupi untuk itu kita akan minta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) membantu dalam menyediakan sesi fisioterapi di klinik kesihatan.

“Orangnya masih muda jadi kita tidak boleh diamkan sahaja sebaliknya perlu membantu dirinya untuk keluar dari tahap kesihatan sekarang ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

78
Kongsi :
Previous post BAJET 2025: RAKYAT SYUKUR KERAJAAN MELAKA PEDULI NASIB GOLONGAN MEMERLUKAN
Next post ‘TERIMA KASIH BANTU KAMI’
Ubah saiz-+=