W.R.U.R: HAMPIR 1 TAN SISA DIBERSIHKAN DI PEKAN KUALA SUNGAI BARU
KUALA LINGGI 17 Januari – Hampir satu tan sisa berjaya dibersihkan di Pekan Kuala Sungai Baru, di sini, menerusi Program Gotong-Royong Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi, hari ini.
Program khidmat masyarakat itu merupakan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI), selain turut dibantu SWM Environment Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Pengarah SWCorp Negeri Melaka Nor Zaki Md Nor berkata, program tersebut melibatkan kira-kira 70 peserta daripada kesemua agensi terlibat, selain turut dibantu tiga jentera ultra wax, satu unit jengkaut dan dua unit RORO.
Menurut beliau, daripada keseluruhan sisa yang dikutip, sebanyak 450 kilogram (kg) merupakan sisa kebun, diikuti 235kg sisa pukal dan 230kg sampah ‘litter’.
“Program gotong-royong ini melibatkan hampir keseluruhan kawasan Pekan Kuala Sungai Baru dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang mempunyai mempunyai aduan tertinggi terutama membabitkan isu longkang tersumbat.
“Program ini bertujuan membantu membersihkan kawasan tumpuan ini bagi memastikan persekitaran yang lebih bersih, selamat, dan selesa untuk penduduk setempat.
“Semoga usaha ini dapat membawa manfaat kepada masyarakat dan menjadikan Pekan Kuala Sungai Baru sebagai contoh kawasan yang bersih dan harmoni,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, program gotong-royong itu turut disertai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.