W.R.U.R DUN PENGKALAN BATU LEBIH MENYELURUH
PENGKALAN BATU 4 Februari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu disusun agar lebih menyeluruh, sekali gus mencapai objektif untuk menyantuni penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya ruang yang ada bagi membolehkan rakyat tampil mengetengahkan sebarang aduan atau perkongsian sebarang cadangan.
Katanya, sepanjang 14 hari W.R.U.R berlangsung bermula 10 Februari ini, hampir semua agensi dan jabatan Kerajaan Negeri berkaitan akan turun padang untuk berjumpa empat mata dengan rakyat.
“Program W.R.U.R bagi DUN Pengkalan Batu dijangka padat dan penuh dengan pelbagai pengisian, siang serta malam. Saya percaya program ini akan berjalan dengan baik, kami akan manfaatkan peluang yang ada untuk menyelesaikan masalah disuarakan rakyat.
“Malah saya amat berharap semua penduduk dapat manfaat kesempatan yang terbuka buat mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Joy Chan Advertising Sdn Bhd di Peringgit Jaya, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, pihaknya kini pada peringkat akhir dalam melakukan persiapan termasuk penempatan beberapa lagi agensi yang akan turut serta.
“Persiapan pihak kami sudah capai 80 peratus, cuma hanya tinggal untuk kita masukkan beberapa agensi lagi yang ingin turut serta. Program kita memang banyak selain pameran ada juga kenduri dan sukan rakyat yang mana setiap daripadanya akan berlangsung di lokasi yang berbeza,” katanya.
Jelasnya, kemuncak W.R.U.R DUN Pengkalan Batu adalah perasmian Jejantas Tun Teja sebelum disusuli kenduri rakyat pada hari akhir iaitu pada 23 Februari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.