W.R.U.R BERI PELUANG MPAG SANTUNI MASYARAKAT
ALOR GAJAH 21 Januari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) adalah komitmen Kerajaan Negeri mensejahterakan rakyat melalui aktiviti turun padang oleh wakil-wakil rakyat dengan menyantuni, mendapatkan maklum balas dan memahami keperluan rakyat agar penyelesaian dapat dilaksanakan dengan segera serta berkesan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata menerusi W.R.U.R edisi pertama itu juga MPAG telah menerima sebanyak 13 aduan daripada masyarakat setempat.
“Aduan ini diperoleh dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menerusi Portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim & Pengurusan Bencana dan Portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi & Hal Ehwal Agama.
“Selain itu terdapat beberapa aduan awam yang baharu diterima ketika Hari Bertemu Rakyat (HBR) yang diadakan pada 18 Januari (Sabtu) lalu.
“Saya yakin W.R.U.R ini adalah platform terbaik kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyantuni masyarakat setempat, menerusi program ini kita boleh menerima pelbagai aduan awam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya lagi, menerusi program itu MPAG turut membantu mempromosikan salah satu lokasi pelancongan rekreasi tempatan yang berpotensi untuk diketengahkan iaitu Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga.
“Ini dilaksanakan ketika Majlis Perasmian Kolam Memancing Air Masin Telok Belanga dan Pertandingan Memancing DUN Kuala Linggi yang berlangsung pada 12 Januari lalu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.