Sorting by

×

W.R.U.R BERI KESAN MENDALAM KEPADA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LINGGI 18 Januari – Edisi sulung Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) telah memberi kesan mendalam kepada penduduk Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi selepas lebih 40 inisiatif sentuhan rakyat berjaya dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu meliputi pelbagai aspek sama ada projek kecil, sederhana atau besar yang mana impaknya dapat dirasai warga DUN berkenaan.

Tambah beliau, selama dua minggu ‘berkampung’ di kawasan yang terletak di utara Negeri Melaka itu, sebanyak 150 aduan, cadangan dan pandangan juga telah diterima daripada rakyat di kawasan tersebut dan kesemuanya akan cuba diselesaikan sebaik mungkin agensi dan jabatan terlibat.

“Dalam tempoh dua minggu ini banyak perkara telah kita selesaikan antaranya dalam sudut infrastruktur, kebajikan, pendidikan, keusahawanan dan pemerkasaan golongan belia.

“Malah, kita juga telah mengumumkan projek-projek pembangunan berskala besar di Kuala Linggi yang akan memberi manfaat kepada rakyat pada masa akan datang.

“Jadi, projek-projek ini telah kita kumpulkan menjadi 40 ‘touch point’ yang dapat dinikmati penduduk di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Kuala Linggi dan Perasmian Dewan Bakti Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklum balas masyarakat dan rakyat di DUN Kuala Linggi berhubung pelaksanaan W.R.U.R dan hasil dapatan maklum balas itu akan dibuat penambahbaikan bagi siri yang seterusnya di 27 lagi DUN dalam Negeri Melaka.

“Program dua minggu W.R.U.R ini tidak akan terhenti begitu sahaja di setiap DUN. Semua aduan dan permohonan yang bersifat kompleks akan diangkat di peringkat kerajaan untuk dipantau, diteliti dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pemantauan yang akan memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan menemui titik penyelesaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

93
Kongsi :
Previous post W.R.U.R JELMAKAN LEBIH 40 PENCAPAIAN UNTUK WARGA KUALA LINGGI
Next post W.R.U.R: KETUA MENTERI PROMOSI PRODUK MELAKA HARI INI
Ubah saiz-+=