Sorting by

×

W.R.U.R AKHIRI PENANTIAN DUA DEKAD SK KAMPONG TENGAH

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LINGGI 14 Januari – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.UR) yang dicetuskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh nyata memberi impak kepada kesejahteraan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi penganjuran sulung W.R.U.R di DUN Kuala Linggi, impak itu dirasai sektor pendidikan di kawasan itu apabila sebuah sekolah rendah bakal dinaik taraf dengan pembinaan bangunan baharu bagi memberi keselesaan kepada warga pendidik dan pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah di Kuala Sungai Baru yang sudah 20 tahun menantikan penambahbaikan infrastruktur tersebut.

Jelas beliau, pembinaan bangunan tambahan itu bakal menelan kos sekitar RM5 juta, di mana majlis pecah tanah telah dilakukan sebelum kerja-kerja pembinaan bermula.

“Ini merupakan bangunan tambahan yang dijangka akan menyediakan lapan ke sepuluh buah kelas untuk keselesaan murid dan guru di sekolah ini.

“Memang sudah 20 tahun SK Kampong Tengah menanti bangunan dan alhamdulillah hasil inisiatif W.R.U.R ini ia dapat merealisasikannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Kompleks Japerun Kuala Linggi.

Terdahulu, Rahmad telah menyertai Konvoi Ziarah Kasih Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Bersama Murid dan Guru DUN Kuala Linggi Sempena W.R.U.R dengan menjelajah ke kesemua sekolah di dalam DUN Kuala Linggi bagi menyampaikan sumbangan kepada guru dan pelajar memerlukan.

Menurut Rahmad, W.R.U.R yang akan menjelajah ke kesemua 28 DUN dalam Negeri Melaka selama dua minggu merupakan satu inisiatif turun padang yang sangat baik dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat di setiap kawasan.

Jelasnya, ia memandangkan program itu melibatkan kesemua agensi dan jabatan kerajaan di bawah setiap portfolio Exco Kerajaan Negeri bagi memberi perkhidmatan terbaik di peringkat akar umbi.

“Menerusi portfolio saya iaitu pendidikan, pengajian tinggi dan Hal Ehwal Agama, lebih 20 program diadakan hanya di DUN Kuala Linggi sahaja.

“Alhamdulillah, respon yang diterima daripada rakyat dan masyarakat di kawasan ini amat baik dan rata-rata mereka berterima kasih di atas inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi W.R.U.R ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post W.R.U.R MEDAN PERKASA USAHAWAN
Next post BAJET 2025 MELAKA CAKNA PENUNTUT IPT
Ubah saiz-+=