Sorting by

×

‘View mahal’ pelantar sawah padi jadi tarikan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI RAMBAI 9 Ogos – Sebuah pelantar yang dibina dengan latar belakang sawah padi menjadi tarikan terbaharu di Kem Benteng Negara, di sini.

Pelantar itu dibina khas sempena penganjuran Festival D’Bendang Melaka 2024 yang berlangsung selama tiga hari, bermula hari ini hingga Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis memaklumkan, struktur itu dibina khusus untuk pengunjung hadir ke festival berkenaan bergambar.

Katanya, idea itu tercetus apabila melihat tema OOTD atau Outfit Of The Day kini mpopular dalam kalangan anak muda mencari lokasi bergambar dengan pemandangan indah untuk dimuat naik di platform media sosial.

“Apabila berbincang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai festival ini, saya maklumkan bahawa kita perlu sediakan satu tarikan untuk pengunjung bergambar.

“Kita buat penambahbaikan ini supaya orang ramai yang datang tidak bosan dan mengetahui bahawa Sungai Rambai merupakan antara lokasi yang mempunyai pemandangan sawah padi yang cantik serta menarik.

“Jadi, kontraktor terlibat mengambil masa tidak sampai dua minggu untuk menghasilkan pelantar ini. Insya-Allah selepas ini lebih banyak tarikan akan kita sediakan buat pengunjung dan pelancong,” katanya kepada pemberita di tapak festival berkenaan.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berharap penganjuran Festival D’Bendang akan menjadi acara tahunan dalam kalender pelancongan Negeri Melaka memandangkan ia membawa impak cukup besar kepada penduduk tempatan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post KUD peringkat kebangsaan di MAEPS Julai tahun hadapan
Next post Motosikal menanti pengunjung bertuah MATTA Fair Melaka
Ubah saiz-+=