Sorting by

×

VIDEO TULAR DI PUSAT BELI BELAH MELAKA BUKAN KES CULIK

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDA HILIR 22 Mac – Polis mengesahkan tiada kejadian culik kanak-kanak di sebuah pusat beli belah di Banda Hilir seperti yang ditularkan menerusi satu rakaman video.

Sebaliknya, kejadian yang berlaku itu membabitkan seorang wanita yang mengalami masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu video berdurasi 47 saat itu yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Katanya, berdasarkan laporan diterima dibuat oleh pengadu iaitu seorang wanita berusia 36 tahun pada jam 7.15 malam tadi mendapati dia dan anak-anaknya diekori wanita tidak dikenali ketika berada di sebuah premis di Dataran Pahlawan.

“Wanita berusia 33 tahun itu juga didapati bercakap seorang diri dan menjerit-jerit sebelum terus mengekori pengadu dan anak-anaknya sehingga ke eskalator dalam pusat membeli-belah terbabit.

“Ketika kejadian, wanita terbabit turut bertindak menendang pengadu sehingga menimbulkan suasana panik,” katanya.

Tambahnya, susulan kejadian itu, wanita tersebut terjatuh sebelum orang ramai mula mengerumuninya dan diserahkan kepada anggota peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati wanita terbabit mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Melaka dan pernah menerima rawatan di unit psikatri hospital sama beberapa kali sebelum ini,” jelas beliau.

Christopher berkata, wanita terbabit kini ditahan di Jabatan Psikiatri Hospital Melaka untuk pemantauan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post LAMPU ‘LIP LAP’ GAMIT NOSTALGIA SAMBUT AIDILFITRI
Next post MPHTJ CANTAS, TEBANG LEBIH 4,000 POKOK UNDANG BAHAYA