Veteran ATM, prebet Ujang Mormin meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

SEREMBAN 10 Feb. – Veteran Perang Dunia Kedua Prebet Ujang Mormin, 100, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor lewat petang semalam.

Berita duka itu disahkan cucu saudara perempuannya Lailawati Jamil, 59, ketika dihubungi Bernama di sini, yang berkata arwah meninggal dunia pada 5.05 petang.

Allahyarham prebet Ujang Mormin ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Julai 2020. Foto – FB ATM

Menurutnya, Allahyarham Ujang yang dipanggil atuk itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu selepas dikesan positif COVID-19.

“Pihak hospital telefon saya empat hari lepas memaklumkan arwah sudah kritikal, dan sejak dari itu setiap hari saya mengikuti perkembangan keadaannya menerusi panggilan video dan semalam (kelmarin) pun saya sempat tanya keadaan atuk lagi.

“Sebelum ini arwah ada meluahkan kerinduan untuk berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan, seakan-akan arwah tahu masanya dah tiba, tapi kerana keadaan COVID-19 ketika ini kami tidak dapat menziarahinya, saya rasa agak terkilan,” katanya.

Lailawati berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham ialah pada awal Januari lepas di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Menyifatkan arwah sebagai seorang yang baik hati, pemaaf dan senang berkawan dengan orang ramai, Lailawati berkata kematian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada keluarganya.

Menurutnya, urusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah diatur oleh pihak Kementerian Kesihatan di Hospital Sungai Buloh kira-kira 9 pagi ini dan dijangka dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Port Dickson pada tengah hari.

Allahyarham Ujang yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau pernah bersama-sama legenda wira perang Allahyarham Lt. Adnan Saidi ketika menentang tentera Jepun.

#ujangmormin #veteran #meninggal #perangdunia #adnansaidi #covid-19

Views:

1249
Kongsi :
Previous post Bekas perenang Malaysia dijel lapan minggu ingkar Perkhidmatan Negara
Next post Kuarantin tiga hari: Menteri perlu patuh syarat ketat
Ubah saiz-+=