‘Vaksinasi secara ‘walk-in’ hanya bawa kad pengenalan saja’
SUNGAI UDANG 28 Julai – “Saya berpuas hati dengan cara macam ini, sebab pengagihan vaksin secara terus dapat disalurkan kepada warga emas,” kata Nor Azman Latiff.
Dia antara warga emas yang menerima suntikan vaksin secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Japerun Sungai Udang hari ini.
Katanya, dia gembira dan bersyukur dengan inisiatif kerajaan bagi memberi kemudahan dan perhatian kepada golongan sepertinya.
Nor Azman yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, inisiatif itu memudahkan golongan sepertinya kerana ramai warga emas tidak mahir menggunakan telefon pintar bagi mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera.
“Selepas tahu daripada abang ipar semalam, saya tidak melepaskan peluang mendaftarkan diri di sini dengan bawa kad pengenalan.
Sudah lama anak daftar saya dalam MySejahtera dan bila dapat tahu boleh dapat suntikan secara ‘walk-in’ saya terus datang kerana tidak mahu tunggu lama sebab umur dah lanjut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, proses suntikan vaksin lancar biarpun dihadiri ramai orang dan tiada kesesakan berlaku dalam bangunan terbabit.
Sumber memberitahu setakat jam 1 tengah hari tadi hanya kira-kira 10 warga emas dan OKU yang tidak mempunyai janji temu hadir secara terus untuk vaksinasi.
Sementara itu, Haslizah Md Saat,46, berkata, inisiatif itu amat bertepatan pada masanya bagi memastikan lebih ramai golongan berisiko dapat divaksin.
Katanya, dia bersyukur dapat menghantar bapanya, Md Saad Karim, 72, mendapatkan suntikan selepas dimaklumkan oleh seorang sukarelawan dari kampungnya yang bertugas di PPV terbabit.
“Inisiatif ini amat memudahkan untuk saya kerana selain ayah, saya juga menjaga ibu dan dua adik yang terlantar sakit di rumah.
“Saya hanya mampu bawa ayah untuk suntikan hari ini dan harap ada pihak boleh datang memberi suntikan vaksin di rumah.
“Emak saya berusia 66 tahun dan menghidap ‘minor stroke’ manakala dua adik saya berusi 36 tahun dan 31 tahun adalah OKU,” katanya.
Katanya, dia menjaga ahli keluarganya seorang diri dan berdepan kesulitan untuk membawa mereka ke PPV terbabit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.