Vaksin Sinovac tidak perlu diragui, selamat digunakan- Khairy
REMBAU 18 Mac. – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa vaksin Sinovac selamat digunakan di negara ini dan tidak perlu diragui.
Beliau berkata ini kerana vaksin berkenaan telah mendapat penilaian daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam memastikan tahap keselamatannya sama seperti vaksin jenis Pfizer BioNtech yang telah terbukti keberkesanan penggunaannya di negara ini.
Malah, Khairy berkata vaksin Sinovac itu juga telah diguna pakai di seluruh dunia dan sehingga kini lebih 60 juta dos telah disuntik selain turut menerima 27 Emergency Use Authorisation di peringkat global termasuk di China, Indonesia, Turki dan Brazil.
“Ini jelas menunjukkan bahawa banyak lagi negara lain yang turut mengakui tahap keselamatan, keberkesanan dan kestabilannya untuk diambil dan diberikan kepada penduduk mereka.
“Walaupun negara kita baru sahaja memberikan suntikan vaksin Sinovac ini tetapi sehingga 15 Mac, lebih 15 peratus dos global yang diberikan adalah Sinovac,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan pertama vaksin berkenaan di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata dos kedua vaksin Sinovac akan diberikan dalam tempoh 21 hari selepas dos pertama vaksin itu disuntik, sama seperti vaksin jenis Pfizer BioNTech sebelum ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.