Sorting by

×

Vaksin: Masyarakat berbilang kaum boleh jalani kehidupan normal

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 26 Feb. – Program vaksinasi COVID-19 yang dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan ini diharap dapat membantu masyarakat berbilang kaum di negara ini menjalani hidup seperti biasa.

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina Ketua Menteri Melaka Yong Fuan Juan berkata, vaksin tersebut tiba tepat pada masanya sebagai usaha untuk memerangi pandemik yang telah memberi kesan negatif dari sudut ekonomi dan kehidupan rakyat.

FUAN JUAN…vaksin COVID-19 tiba tepat pada masanya dan diharap dapat membantu kerajaan untuk melandaikan keluk pandemik di Melaka khasnya.

“Kita semua berharap dengan adanya vaksin COVID-19 ini ia dapat sekurang-kurangnya mengembalikan keadaan dunia yang huru-hara kepada normal.

“Kita dapat melihat daripada angka dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa vaksin ini telah berjaya melandaikan graf jangkitan.

“Pernahkah kita mengambil tahu sebenarnya lebih daripada 210 juta orang di seluruh dunia telah mengambil suntikan vaksin dan berjaya mengurangkan kes kematian serta jangkitan virus tersebut. Jadi, ia sememangnya telah terbukti dapat membantu situasi masa kini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Oleh itu, beliau berharap rakyat tidak kira latar belakang dapat memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan untuk mewujudkan imuniti berkelompok.

“Saya berharap tiada yang terpedaya dengan sebarang berita palsu mengenai vaksin. Maklumat palsu dengan niat untuk menakut-nakutkan masyarakat sama sekali tidak membantu situasi semasa ketika ini,” ujarnya.

Nada sama turut disuarakan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Melaka Datuk MS Mahadevan yang meminta agar semua kaum di negeri tidak terlepas dalam pengambilan vaksin COVID-19.

Beliau yang juga Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat India Ketua Menteri Melaka percaya vaksin tersebut dapat membantu mengurangkan kes COVID-19 di negara ini sedikit masa lagi.

“Saya menyeru semua kaum khususnya masyarakat India tidak terkeliru dengan sebarang berita palsu. Ambillah vaksin untuk kebaikan kita semua di seluruh negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post Pensyarah Politeknik Merlimau didenda RM36,000 buat tuntutan palsu
Next post 1,700 pek bubur lambuk diagih kepada penduduk
Ubah saiz-+=