
VAKSIN INFLUENZA PERCUMA UNTUK WARGA EMAS DI MELAKA BERMULA HARI INI
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKN) Melaka dalam kenyataan hari ini berkata vaksin itu diberikan kepada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, jantung, obesiti, kolesterol tinggi, buah pinggang kronik atau paru-paru kronik.
“Langkah ini adalah inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti radang paru-paru (pneumonia), sepsis dan kegagalan organ.
“Pemberian vaksin influenza terbukti selamat dan berkesan dalam mencegah jangkitan serta komplikasi serius di samping mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas,” menurut kenyataan itu.
JKN berkata warga emas yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma dengan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Slot janji temu diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan di negeri itu dan warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi disaran mengambil peluang dan membuat temujanji segera kerana jumlah dos yang tersedia adalah terhad.
JKN Melaka komited dalam memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat terutama golongan warga emas yang berisiko tinggi terhadap komplikasi influenza.
“Kami menggalakkan mereka yang layak untuk segera mendapatkan vaksin influenza bagi melindungi diri sendiri serta orang tersayang daripada risiko jangkitan yang boleh membawa kepada komplikasi serius,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.