Sorting by

×

‘Vaksin ibarat perisai diri’

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SUNGAI UDANG 9 Mac – “Apa yang penting adalah mempersiapkan mental kita untuk menerima vaksin dan dari segi kesan selepas disuntik amat minimum.”

Itu kata-kata galakan Panglima 3 Divisyen (3 Div), Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim yang memberi keyakinan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat diambil bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Menurutnya, beliau tidak mengalami simptom demam selepas menerima vaksin itu malah sempat bersukan pada petang selepas menerima suntikan itu, semalam.

“(Berdasarkan) tahap kecergasan tentera yang tinggi itu saya yakin kesan diperolehi amat minimum, jadi jangan takut untuk mengambil vaksin itu demi kebaikan diri sendiri dan keluarga serta organisasi,” katanya.

KHAIRUL AZMIZAL (dua dari kanan) bergambar bersama jururawat selepas menerima suntikan vaksin pada program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Peringkat Kem Terendak di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN), Kem Terendak. Foto: MR. Azli

Beliau ditemui pada Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 peringkat Kem Terendak, di sini, hari ini yang membabitkan 66 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal yang menerima suntikan hari berkata, prosedur pemvaksinan COVID-19 adalah prosedur biasa sebagaimana diterima semua rakyat dalam program imunisasi wajib sejak kecil.

“Secara dalamannya, proses itu lebih selamat dan dilindungi,” katanya.

Pegawai Memerintah Rejimen Semboyan Divisyen Ketiga Infatri, Kolonel Nik Nahar Nik Mohd Isa. Foto: MR. Azli

Bagi Pegawai Memerintah Rejimen Semboyan Divisyen Ketiga Infantri, Kolonel Nik Nahar Nik Mohd Isa, vaksin COVID-19 ibarat ‘baju besi’ yang dibekalkan kepada anggota tentera.

“Vaksin COVID-19 ibarat baju besi yang dibekalkan kepada anggota tentera, tanpa baju besi ini umpama tiada perisai untuk melindungi diri,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Gerakan Peperangan Informasi 3 Rejimen Semboyan Diraja, Leftenan Kolonel Sazlina Sudin berkata, keyakinan yang ada dalam dirinya membuatkan dia rasa selamat dan tenang untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Jangan risau, sekiranya seseorang itu sihat tubuh badan dan tiada alahan, Insya-Allah segalanya selamat.

“Yang penting, yakin dan anggap vaksin ini sebagai perisai untuk melawan penyakit itu selain membantu kerajaan menangani masalah COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1545
Kongsi :
Previous post Polis rampas 15,360 batang rokok seludup
Next post Hanya 15 peratus rakyat Melaka sudi terima vaksin
Ubah saiz-+=