Sorting by

×

Vaksin calon, guru untuk sesi pembelajaran bersemuka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun – Kerajaan dicadang memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 serta guru terbabit dengan tingkatan peperiksaan itu.

Perkara itu antara beberapa usul dicadangkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru)
susulan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berhubung penjadualan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan peperiksaan SPM 2021.

Presiden i-Guru Mohd Azizee Hasan berkata, suntikan itu perlu supaya mereka boleh hadir ke sekolah semula untuk sesi pembelajaran bersemuka bagi persiapan menghadapi peperiksaan SPM.

Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan Tabung Dana PDPR diwujudkan bagi kegunaan guru dan murid untuk pembelian peralatan teknologi, alat peranti dan data internet.

“Kita cadangkan guru-guru menyumbang minimum RM10 sebulan melalui potongan gaji bagi menyelamatkan murid daripada keciciran pendidikan dan membantu warga guru dengan bantuan data internet.

“Tabung ini adalah inisiatif tambahan sebagai membantu usaha pihak kerajaan untuk mengagihkan 150,000 peranti kepada murid dari keluarga B40,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Azizee lagi, pihaknya menyarankan kualiti program Didik TV ditingkatkan dari sudut penyiaran, dan isi kandungan agar lebih interaktif dan efektif.

“Kepakaran guru-guru sedia ada melalui pengalaman PdPR 1.0 dan 2.0 perlu dimanfaatkan untuk dikongsi bersama warga guru demi meningkatkan kompetensi guru.

“Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) juga wajar memberikan insentif khas kepada warga guru atas usaha keras mereka untuk tujuan itu,” katanya.

Terdahulu, KPM mengumumkan (PdPR) akan disambung untuk tempoh 25 hari bermula sesi persekolahan dibuka pada 13 Jun bagi kumpulan A manakala kumpulan B pula pada 14 Jun ini.

Perkara itu berjalan sehingga sesi cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai depan dan ketetapan itu terpakai kepada semua sekolah termasuk sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat yang berdaftar di bawah KPM.

Menurut Mohd Azizee, pihaknya juga mencadangkan warga guru diberi pelatihan intensif dan berterusan mengenai cybergogy, peeragogy dan heutagogy untuk berdepan pendidikan milinium dan cabaran IR 4.0.

“Diharapkan langkah proaktif dan kreatif pihak KPM akan membantu warga guru dan murid-murid demi kelangsungan masa depan pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post Nauraj cemerlang di Hungary
Next post Perkampungan haram warga asing di Cyberjaya diserbu
Ubah saiz-+=