UTeM tersenarai dalam QS World University Rankings buat pertama kali
DURIAN TUNGGAL 13 April – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah di pentas dunia apabila mencapai kejayaan terbaharu iaitu disenaraikan dalam penarafan QS University Rankings by Subject 2022 buat pertama kali.
Naib Canselor UTeM Profesor Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan itu telah diumumkan pada 6 April lalu yang mana UTeM tersenarai dalam dua bidang iaitu kejuruteraan (mekanikal, aeronautik dan pembuatan) pada kedudukan 451-500 serta bidang sains komputer dan sistem maklumat pula pada kedudukan 651-670 di peringkat dunia.
Jelasnya, kejayaan penyenaraian dua bidang UTeM itu dilihat bertepatan sekali dengan fokus dan identiti UTeM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terus memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara.
“Penarafan QS World University Rankings by Subject ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 51 bidang khusus yang membentuk 5 bidang utama.
“Sementara itu, komponen utama penilaian pula adalah reputasi, sitasi, penerbitan serta satu komponen baharu iaitu jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan,” katanya dalam
Mengulas lanjut beliau berkata, keberadaan UTeM dalam kedudukan universiti terbaik dunia membuktikan bahawa UTeM sebuah institusi kecemerlangan ilmu terutamanya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang setanding dengan universiti terkemuka lain di pentas antarabangsa.
“Pencapaian sulung yang membanggakan ini tentunya adalah sepakat usaha bersama yang tidak pernah berbelah bahagi antara pihak pengurusan tertinggi, pensyarah, pentadbir dan seluruh warga UTeM,” katanya.
Massila menambah, UTeM menyasarkan pencapaian itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selari dengan aspirasi Pelan Strategik UTeM 2021-2025: ‘Seven Strategic Goals of UTeM’ dalam tempoh 5 tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.