UTeM terima penarafan QS World Universiti Rankings: Sunstainability 2024
MELAKA, 19 Dis – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) buat pertama kalinya menerima penarafan QS World University Rankings: Sustainability 2024 dan berada pada kedudukan 1,001-1,050 dalam penarafan tersebut.
Naib Canselornya Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata ia merupakan satu penghormatan kepada universiti tersebut atas dedikasi berterusan terhadap amalan lestari yang berkait langsung dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia.
Beliau berkata ia juga merupakan satu penarafan diiktiraf di seluruh dunia yang menilai komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar, sosial dan ekonomi (ESG).
“Penyertaan UTeM dalam senarai berprestij ini sekali gus menaikkan martabat universiti ke peringkat antarabangsa dan menzahirkan komitmen kami yang memberikan kesan dan impak langsung terhadap dunia.
“Pencapaian ini juga membuktikan adanya keberhasilan berantai bagi setiap usaha mampan UTeM secara menyeluruh melalui amalan kampus mesra alam dan penglibatan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Massila berkata program dilaksanakan universiti itu bukan sahaja membantu menjadikan kampus lebih hijau malah turut memupuk rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam kalangan pelajar dan kakitangan.
Beliau berkata kedudukan itu turut menambah nilai buat UTeM sebagai sebuah institusi kecemerlangan teknikal yang terus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
“Usaha berterusan kami ke arah kelestarian sepenuhnya ini bukanlah berteraskan kepada penarafan semata-mata namun usaha murni adalah demi untuk memastikan legasi ini dapat diwarisi buat generasi seterusnya dan kemaslahatan sejagat,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.