UTeM terima dua geran penyelidikan RM446,000

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima dua geran penyelidikan berjumlah RM446,000 menerusi satu Memorandum Perjanjian (MoA) bersama syarikat semikonduktor, On Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd. (Onsemi).

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, geran tersebut adalah bagi membangunkan ‘silicon carbide’ dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam industri kenderaan elektrik (EV).

Katanya, penganugerahan geran itu membuktikan Onsemi yakin dengan kepakaran dimiliki UTeM berdasarkan kepada pelbagai pencapaian diraih sebelum ini.

“Onsemi memiliki dua kilang semikonduktor beroperasi di Seremban, Negeri Sembilan, mereka mahu memperluaskan lagi skop penyelidikan bersama tenaga kerja UTeM terutama yang memiliki kepakaran dalam bidang EV, AI dan bahan.

“Kami menerima dua geran industri antarabangsa iaitu untuk pembangunan AI berjumlah RM208,672 dan silicon carbide bernilai RM238,698 bagi tempoh April tahun ini hingga Mac tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Aidilfitri UTeM 1444 Hijrah di Dewan Canselori UTeM, di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Canselor UTeM, Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman selain Timbalan Presiden Onsemi, Dluong Ngan Leong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1399
Kongsi :
Previous post Jangan takut lapor salah laku penguat kuasa
Next post Banda Hilir, kawasan bebas kenderaan Jumaat hingga Ahad
Ubah saiz-+=