Sorting by

×

UTEM TERIMA 3,498 PELAJAR BAHARU, TERTINGGI SEJAK PENUBUHAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merekodkan seramai 3,498 pelajar baharu sekali gus menjadikan jumlah itu paling tinggi kemasukan ke universiti berkenaan pada sesi 2024/2025 sejak penubuhannya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, kemasukan tertinggi itu membuktikan bahawa UTeM semakin dikenali dan menjadi pilihan utama pelajar serta peneraju institusi Pendidikan tinggi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terunggul dalam negara.

Lantaran itu katanya, mahasiswa baharu perlu menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang semakin kompleks dan menjadikan universiti itu sebagai lapangan untuk mengasah kemahiran TVET.

“Mahasiswa baharu juga perlu memberikan pulangan terbaik terhadap kemajuan dan pembangunan diri sendiri, keluarga, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Baharu Sesi 2024/2025 di UTeM.

Terdahulu majlis perasmian minggu berkenaan disempurnakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Img 20241012 Wa0020
DR. Massila bersama Megat Zulkarnain dan Dr. Sabri pada Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Baharu Sesi 2024/2025 di UTeM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, UTeM sentiasa prihatin dan sedia membantu mahasiswa dalam aspek kebajikan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dalam memastikan kecemerlangan mahasiswa.

“Bagi pelajar yang menghadapi masalah kewangan, terdapat Bahagian Kebajikan Pelajar di Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) yang bertanggungjawab memberi bantuan melalui Tabung Kebajikan Pelajar dan Tabung-Tabung Zakat.

“Pihak UTeM juga turut menyediakan Tabung Pinjaman Universiti untuk tujuan membantu pelajar selain pemberian Food Bank penyediaan makanan percuma,” ujarnya lagi.

Minggu Haluan Siswa yang berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober itu memberi tumpuan terhadap penglibatan pelajar baharu sepenuhnya, terutama dari segi pendedahan kepada kehidupan kampus yang lebih menyeluruh di samping taklimat-taklimat dan pengisian penting berkaitan dengan pengurusan universiti, akademik dan hal ehwal pelajar dan alumni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

193
Kongsi :
Previous post TRANSFORMASI 663 KAMPUNG DIGITAL MELAKA SELESAI HUJUNG TAHUN INI
Next post KAMPUNG DIGITAL LANCARKAN URUSAN POS
Ubah saiz-+=