Sorting by

×

UTeM terima 2,530 pelajar baharu

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kemasukan seramai 2,530 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi 2023/2024, pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Program Ijazah Sarjana Muda, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, peningkatan kemasukan pelajar sebanyak 24 peratus itu membuktikan bidang pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi pilihan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 2022/2023 yang lalu UTeM merekodkan seramai 2,043 pelajar.

“Seramai 820 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).

“Manakala seramai 612 pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 596 orang.

“Selebihnya mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) pula seramai 502 orang.

“Proses pendaftaran pelajar dilaksanakan secara sistem bersepadu yang efisien dan efektif di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM,” katanya.

Katanya lagi, kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi dalam dan luar negara menjadikan universiti ini antara IPT yang menjadi pilihan utama pelajar.

“Kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi serta global yang menjadi buruan majikan melonjakkan UTeM sebagai destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai.

“Minggu Haluan Siswa (MHS) pula diadakan bermula Isnin hingga Jumaat (2 hingga 6 Oktober) bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti berkenaan pada Ogos lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1513
Kongsi :
Previous post Pupuk semangat usahawan menerusi koperasi
Next post YESS medium lahir usahawan muda
Ubah saiz-+=