UTEM RANGKUL 2 ANUGERAH KHAS BUKU NEGARA 2024
DURIAN TUNGGAL 15 Disember – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meraih kejayaan berganda apabila merangkul dua Anugerah Khas Buku Negara 2024.
Kejayaan itu diraih dalam kategori Buku Sains dan Teknologi Terbaik serta Penerbit Prolifik (Universiti).
Penyampaian Anugerah Khas Buku Negara 2024 diadakan bersempena Majlis Pelancaran Buku Coffee Table Polis DiRaja Malaysia berjudul ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyempurnakan majlis penyampaian anugerah tersebut, baru-baru ini.
Anugerah Kategori Buku Sains dan Teknologi Terbaik telah diterima menerusi buku terbitan Penerbit UTeM berjudul ‘Kepentingan Keperluan Keselamatan dalam Pembangunan Perisian’ karya Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Pensyarah Kanan, Ts. Dr. Noorrezam Yusop.
Sementara itu, Anugerah Kategori Penerbit Prolifik (Universiti) pula diberikan kepada Penerbit UTeM yang diterima oleh Pengarah Penerbit UTeM, Ts. Dr. Ruziah Ali.
Mengulas pencapaian tersebut, Prof. Massila menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu menerbitkan karya yang diharap dapat menjadi panduan dan rujukan para pembaca.
”Saya berharap pencapaian anugerah turut menjadi sebahagian daripada elemen yang dapat menyumbang kepada penarafan UTeM sekali gus mengharum nama UTeM di persada dunia,” ujarnya.
Pencapaian tersebut turut menggambarkan ketokohan beliau yang bukan hanya komited dalam memimpin UTeM dengan mengangkat bidang TVET aras tinggi, bahkan turut menggalas beberapa jawatan penting berkaitan pendidikan tinggi negara sehingga mencapai pelbagai anugerah.
Pada masa yang sama, beliau tetap cemerlang dalam bidang penulisan dan penerbitan buku sehingga mencapai Anugerah Khas Buku Negara.
Sementara itu, Dr. Ruziah merakamkan jutaan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UTeM, para penulis dan seluruh warga kerja Penerbit UTeM yang sentiasa komited dalam usaha meningkatkan penerbitan ilmiah berimpak tinggi.
“Kemenangan dan pencapaian ini turut menjadi momentum buat kami untuk terus cemerlang dalam penghasilan naskah bermutu tinggi untuk rujukan ramai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.