UTeM raih anugerah Permainan Digital dan Filem Pendek di DICE 2.0
DURIAN TUNGGAL 23 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggondol pingat dua emas pada Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 2.0) di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, dua kategori utama yang dimenangi tersebut adalah Permainan Digital dan Filem Pendek.
Katanya, pencapaian membanggakan itu membabitkan lapan mahasiswa Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) yang membawa pulang pingat emas, piala dan wang tunai RM5,000 bagi setiap kategori dimenangi.
“DICE 2.0 merupakan pertandingan bagi mencungkil bakat dan kemahiran keusahawanan melalui kandungan digital kreatif merangkumi pelbagai kategori disertai lebih 250 peserta mewakili institut pengajian tinggi awam dan swasta.
“Kemenangan ini amat bermakna buat UTeM kerana mendapat pengiktirafan daripadda barisan panel juri profesional dalam industri ini.
“Dalam erti kata lain membuktikan mahasiswa UTeM berkeupayaan tinggi mendukung agenda keusahawanan kreatif dan digital menerusi pemanfaatan inovasi serta teknologi digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata pihaknya sentiasa menyokong semua aktiviti dan juga pertandingan dalam membentuk kemenjadian para pelajar.
“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan dan menunjukkan bakat para pelajar UTeM dengan bimbingan para mentor berpengalaman. Membuktikan kita mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memupuk atribut serta semangat keusahawanan dalam bidang teknologi digital kreatif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.