![Whatsapp Image 2021 12 22 At 11.22.50 Am](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2021/12/WhatsApp-Image-2021-12-22-at-11.22.50-AM.jpeg?v=1640144818)
UTeM prihatin bantu mangsa banjir di Lubok China
LUBOK CHINA 22 Dis – Cakna dan prihatin dengan nasib mangsa bencana banjir di negeri ini, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggerakkan misi bagi membantu golongan yang terjejas akibat bencana alam tersebut.
Inisiatif itu digerakkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar bersama–sama Tuah Volunteer Team (TVT) menerusi misi bantuan pembersihan rumah dan hulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di Telok Berembang Lubok China Melaka, semalam.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, misi itu sekali gus memupuk semangat membantu sesama komuniti warga UTeM, sekaligus merealisasikan tanggungjawab sosial warga kampus kepada masyarakat setempat.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat…semangat yang tinggi serta komitmen sukarelawan yang sanggup berkorban masa dan tenaga membantu mangsa banjir yang selari dengan ciri TUAH UTeM iaitu Tangkas, Unggul, Adaptif dan Holistik.
“Misi ini melibatkan sukarelawan dari kalangan kakitangan dan pelajar UTeM iaitu Team MyHEP UTeM bersama TVT dan Sektetariat Anak Melaka (SAM) melibatkan 45 pelajar serta lapan staf @myheputem,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Untuk rekod Pasukan sukarelawan TVT baharu dilancarkan pada 15 Dis lalu diketuai Che Ku Azryzal Che Ku Azih bersama 45 sukarelawan yang sentiasa bersedia memberikan bantuan tenaga serta menyumbangkan pek makanan untuk mangsa yang terkesan akibat banjir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.