UTeM perluas kerjasama penerbitan di China
DURIAN TUNGGAL 28 Jun – Penerbitan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerbitkan buku ilmiah di Beijing, China menerusi Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2024 pada 19 hingga 23 Jun lalu.
Buku berjudul ‘Tips and Tricks in Writing a Research Proposal’ itu hasil karya Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Pensyarah Kanan UTeM, Dr. Cheong Kar Mee.
Menurut Massila buku berkenaan dilihat berpotensi diperluaskan ke Negara China kerana diterbitkan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Mandarin.
“Buku ini digarap dengan teliti bagi memberi panduan dan membantu para pelajar sarjana dalam menyediakan kertas cadangan akademik yang terbaik.
“Delegasi UTeM turut diundang menghadiri sesi perbincangan kerjasama penerbitan dengan Beijing Normal University bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) serta melawat penerbit buku ilmiah terkemuka di Beijing,” katanya.
Terdahulu pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Pavilion Malaysia di China National Convention Center, Beijing.
Untuk rekod, UTeM mencatatkan sejarah apabila enam judul terbitan Penerbit UTeM terpilih dan mendapat tempat dalam ruangan pameran khas bagi Projek Khas China: 200 Tajuk untuk Perolehan Perpustakaan Universiti di BIBF 2024.
Sementara itu, Pengarah Penerbit UTeM, Dr. Ruziah Ali bersyukur kerana penerbitan UTeM tersenarai dan terpilih projek khas itu untuk Perolehan Perpustakaan Universiti di Pesta Buku Antarabangsa Beijing 2024.
“Pencapaian ini menggambarkan penerbitan UTeM terus merentas sempadan dunia Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju.
“Ini sekali gus menjayakan sebahagian visi dan misi UTeM dalam konteks penerbitan,” katanya.
UTeM adalah antara 60 agensi mewakili delegasi Malaysia yang mengambil bahagian dalam BIBF tahun ini diketuai oleh MBKM yang mana objektif utamanya adalah memperkenalkan dan mengangkat karya tempatan ke persada antarabangsa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.