UTeM perkenalkan kursus bina pasukan secara dalam talian

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DURIAN TUNGGAL 7 Sept – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengetengahkan konsep baharu dalam melaksanakan Kursus Bina Pasukan secara dalam talian menerusi aplikasi webex, baru-baru ini.

Julung kali diadakan secara dalam talian, kursus berkonsepkan ‘One Spirit One Voice One Team: FTMK Truly World’ itu disertai 150 kakitangan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Penolong Pendaftar Kanan Unit Latihan dan Penjanaan, Bahagian Pembangunan Bakat, Pejabat Pendaftar UTeM, Mohd Nizam Mazlan berkata, konsep baharu ini antara pendekatan terkini menggunakan teknologi semasa dalam konteks latihan dan pembangunan sumber manusia.

“Kursus Bina Pasukan konsep baharu ini memerlukan peserta lebih cakna teknologi digital sambil semuanya berada di rumah, lebih selamat, santai namun objektif pembangunan sumber manusia tetap tercapai.

“Tatacara dan etika kursus Bina Pasukan cara baharu ini tidak sukar kerana peserta telah diberikan penerangan seawal program,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UTeM, hari ini.

 

DR RABIAH.

Sementara itu, mengulas pengisian dan keberkesanan kursus, Dekan FTMK UTeM, Prof Ts Dr Rabiah Ahmad berkata, kursus selama dua hari setengah itu antaranya melibatkan perkongsian motivasi dan syarahan berkonsepkan Neuro Linguistic Program (NLP).

Jelasnya, setiap staf diletakkan di dalam kumpulan mengikut analisa sistem representasi diri iaitu visual, auditori dan kinestatik.

“…setiap kumpulan diberikan ruang siber melalui aplikasi webex untuk mereka berkomunikasi dan melaksanakan tugasan kursus.

“Motivasi dan syarahan pula lebih berbentuk interaktif maya yang membolehkan peserta bertanya soalan sama ada secara lisan atau dalam ruangan chat.

“Menerusi kursus ini semua peserta juga berpeluang mempamerkan bakat seperti nyanyian dan bermain muzik secara langsung mahupun rakaman.

“Di samping itu, kepakaran dan kreativiti dalam konteks multimedia dalam kalangan pensyarah turut diuji dan dikongsi bersama peserta menerusi acara dikenali ‘War Cry’,” katanya lagi.

Rabiah berkata, konsep baharu kursus ini amat sesuai dilaksanakan kerana ia tidak melibatkan logistik yang pelbagai, namun dapat memantapkan jentera organisasi dengan konsep teknologi terkini dan pengisian yang hebat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

757
Kongsi :
Previous post Hospital Medan ATM di Johor rawat 944 pesakit, kes sembuh 877 – Hishammuddin
Next post COVID: Puteri UMNO Melaka turun padang salur bantuan kepada penduduk
Ubah saiz-+=