UTEM PERKENAL 5 PRODUK INOVASI
AYER KEROH 8 Januari – Kincir air untuk tenaga boleh diperbaharui menjadi antara lima produk inovasi bertaraf dunia berimpak tinggi dihasilkan kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Naib Canselor UTeM, Prof Ts. Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, empat lagi produk inovasi lain adalah UTeM Off-Road Vehicles (E-ORV) untuk tujuan pertanian, Dron Smart AI Surveillance Security System, Energy Management Response System dan Sistem Amaran Kebakaran Api Pintar (SIAKAP).
Katanya, kesemua produk inovasi berkenaan merupakan penzahiran daripada penyelidikan berterusan UTeM bertujuan memberikan manfaat dalam konteks pelbagai sektor utama di negara ini.
“Kincir Air UTeM menghasilkan tenaga elektrik dari tasik UTeM dan ia dibangunkan menggunakan teknologi pembuatan termaju yang memfokuskan kepada penukaran kuantiti air yang kecil kepada tenaga elektrik.
“Inovasi ini direka khas untuk mencapai kestabilan tinggi dan meminimumkan geseran, penjana direka khas untuk dikendalikan pada kelajuan sangat rendah. Reka bentuk khas litar elektronik kuasa digunakan untuk menghasilkan 24 V DC dan 240 AC sebagai ‘output’ yang mana pengumpulan kuasa sehari mampu menghidupkan penyaman udara biasa selama 12 jam.
“E-ORV merupakan kenderaan traktor berkuasa elektrik boleh digunakan dalam sektor pertanian secara meluas dan ia boleh menjalankan fungsi sebagai jentera pelbagai guna seperti membajak, mengangkut hasil pertanian, membaja, meracun serta menuai hasil perladangan seperti tanaman kelapa sawit.
“Sementara itu, Dron smart AI Surveillance Security System pula sesuai bagi kegunaan pertanian dan pengawasan serta pemantauan termasuk dalam hal keselamatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, Energy Management Response System pula adalah sistem paparan pintar untuk memantau dan mengenal pasti penggunaan eletrik Kampus UTeM.
“Sementara itu, Sistem Amaran Kebakaran Api Pintar (SIAKAP) pula adalah sistem amaran bagi kebakaran yang dilengkapi dengan sistem penderia berteknologi tinggi dilengkapi dengan teknologi Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Jelasnya kelima-lima produk penyelidikan itu telah diperkenalkan pada Majlis Perasmian Kincir Air UTeM dan UTeM Off-Road Vehicles (E-ORV) disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Canselor UTeM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.