UTeM perinci SOP lebih efektif bagi laksana PdP secara hibrid
DURIAN TUNGGAL 9 Feb. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperincikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih khusus bagi pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid.
Naib Canselornya, Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, inisiatif itu selaras dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan enam kategori penuntut berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac depan.
“Sebelum ini bagi konteks pergerakan masuk penuntut ke kampus kami menggunakan aplikasi Entry IOT Access Point System (E-TAP).
“Mereka perlu membuat permohonan menerusi sistem E-TAP bersama saringan kesihatan manakala pihak pengurusan pula akan buat pengesahan dan kebenaran masuk ke kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Raha berkata, pemakluman khusus berhubung perincian SOP dan kaedah kemasukan penuntut ke UTeM akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Mahasiswa akan dimaklumkan mengenai proses permohonan kembali ke kampus berdasarkan syarat ditetapkan serta informasi pengendalian kursus bagi semester ini.
“Namun, kali ini UTeM memperincikan semula sistem dan SOP kepada pelaksanaan sistem yang lebih luas bagi memastikan mahasiswa UTeM berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.
Secara umumnya enam kategori asas digariskan KPT bagi mahasiswa yang dibenarkan kembali ke kampus iaitu penuntut program pengajian sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal.
Turut tersenarai adalah penuntut yang memerlukan makmal klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian serta pelajar asasi atau setara dan diploma sedia ada di kampus.
Selain itu, mahasiswa antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; mahasiswa berkeperluan khas terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) serta mahasiswa yang menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) antarabangasa dan badan profesional.