UTeM masyhurkan keunggulan bahasa Melayu merentas benua

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 29 Okt – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan (KBBK) 2021 bagi memartabatkan keunggulan bahasa Melayu merentas benua menerusi Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan (KBBK) 2021.

KBKK 2021 yang diadakan pada 8 hingga 28 Oktober secara atas talian itu merupakan anjuran Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB) dengan kerjasama Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), UTeM.

Pengarah Program KBBK 2021, Noorsaiyidah Suradi berkata, program ini menjadi platform bagi memperkukuhkan penguasaan dan kecintaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan staf UTeM di samping memperhebatkan bahasa itu di persada dunia.

Beliau yang juga Guru Bahasa Kanan, PPB UTeM, berkata program KBBK pada kali ini diisi dengan 11 program menarik berkaitan menyerlahkan kemasyhuran dan keunggulan bahasa melayu merentas sempadan dunia.

“Antara program itu adalah slot bual bicara ‘Bahasa Melayu Merentasi Benua, Dirgahayu Bahasaku’ yang dijayakan tetamu jemputan dari Rusia, Amerika Syarikat dan Jepun.

“Turut diisi dengan program pertandingan mendeklamasi sajak yang melibatkan para peserta yang terdiri daripada pelajar antarabangsa UTeM,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut Noorsaiyidah berkata, KBBK 2021 buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Berbalas Pantun Terbuka Piala Pusingan Dekan-dekan UTeM.

Dalam pertandingan berkenaan, kumpulan Awang Daik yang merupakan staf dari Pusat Tanggungjawab Canselori, UTeM berjaya merangkul juara.

Sementara itu, Pengarah PPPC, Fazidah Ithnin berkata, penganjuran kali ini secara umumnya mencapai objektif yang diharapkan dan semarak kemasyhuran bahasa Melayu meresapi bukan hanya dalam kalangan warga UTeM dan negara ini malah merentasi global.

Katanya, program itu turut berjaya mengimbau kembali betapa masyhurnya bahasa Melayu yang menjadi alat komunikasi dan pertuturan ramai suatu ketika dahulu sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

“Program dan pengisian KBBK 2021 turut berjaya mencungkil bakat dan kreativiti dari kalangan para peserta yang terdiri daripada kalangan staf dan juga pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan PPB, UTeM, Dr Mohd Fauzi Kamarudin dalam ucapan penutup KBBK 2021 peringkat UTeM berkata, menjadi tanggungjawab dan pentingnya kita bersama memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beliau turut menyeru agar setiap warga pendidik untuk bersama meningkatkan bahasa kebangsaan dan menambahbaik penggunaan bahasa Kebangsaan yg kita cintai ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

981
Kongsi :
Previous post ‘Saya akur keputusan bertanding PRN atau sebaliknya’ – Mas Ermieyati
Next post Keluarga dibenar lawat penghuni penjara sempena Deepavali – Jabatan Penjara
Ubah saiz-+=