UTeM martabat bahasa Melayu di persada antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Pelancaran buku membabitkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bahasa Melayu antara usaha dilaksanakan Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan di pentas antarabangsa.

Menerusi kenyataan dikeluarkan UTeM, kandungan penerbitan berjudul ‘Kepentingan Keperluan Keselamatan Dalam Pembangunan Perisian’ yang diolah dalam bahasa Melayu itu dilancarkan di Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin yang juga penulis buku berkenaan berkata, penerbitan itu selari dengan agenda Kerajaan Malaysia ke arah memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang teknikal, sekali gus memperkasakan TVET.

“Objektif penerbitan buku ini adalah untuk memperkenal dan memberi kefahaman kepada pembaca mengenai kepentingan keselamatan dalam membangunkan sesebuah perisian.

“Bidang keselamatan pembangunan perisian belum cukup meluas berbanding keselamatan siber, walhal semuanya bermula dengan pembangunan perisian,” katanya.

Terdahulu pelancaran buku berkenaan disempurnakan Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt, Farzamie Sarkawi, bersempena lawatan kerja Naib Canselor UTeM ke Eropah Timur.

Delegasi UTeM turut menyerahkan salinan buku berkenaan kepada Duta Besar Malaysia di Romania, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin di Kedutaan Malaysia di Romania.

Turut hadir, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Khair Ngadiron dan Pengarah Penerbit UTeM Press, Ts. Dr. Ruziah Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1034
Kongsi :
Previous post Ingat talian hotline 997 elak kena ‘scam’
Next post Orang ramai diajak salur sumbangan untuk rakyat Palestin – Exco
Ubah saiz-+=