Sorting by

×

UTeM mantapkan kepakaran teknologi WAAM bersama Cranfield University

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DURIAN TUNGGAL 3 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran bersama dengan Cranfield University, United Kingdom, dalam usaha memantapkan lagi kemahiran dalam teknologi Pembuatan Tambah Wayar Arka (WAAM).

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, teknologi WAAM menjadi pemangkin kepada inovasi pembuatan produk acuan logam dunia pada masa kini kerana integrasi prosesnya lebih jitu bermula daripada reka bentuk sehingga penghasilan produk akhir.

Katanya, WAAM antara kepakaran UTeM yang menjadi tumpuan utama bidang kejuruteraan pembuatan dunia selari dengan keperluan Revolusi Industri (IR 4.0).

“WAAM lebih sesuai untuk mencetak objek bersaiz besar dan berat, proses pembuatannya mencapai kelajuan pengeluaran yang tinggi.

“Justeru UTeM dan Cranfield University seiring dalam penyelidikan ini bagi memperluaskan dimensi tahap teknologi tinggi WAAM, sekali gus memberikan wadah baharu buat dunia perindustrian pembuatan global.

“Kita harap kerjasama hebat antara UTeM dan Cranfield University yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Oktober tahun lalu akan membuahkan hasil,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu perbincangan terperinci secara bersemuka mengenai kesinambungan penyelidikan WAAM telah dilaksanakan pada 24 dan 25 Julai lalu di Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Kampus Induk UTeM bersama wakil Cranfield University.

Hadir pada perbicangan itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar, Dekan FKP UTeM, Prof. Ir. Dr. Hambali Arep@Ariff dan Dekan PPS, Prof. Dr. Mohd Rizal Salleh, manakala Cranfield University diwakili dua tenaga pakar dalam bidang WAAM iaitu Prof. Dr. Stewart Williams serta Dr. Jialuo Ding.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1652
Kongsi :
Previous post Berkebaya di bumi Itali
Next post Pelaburan Infineon berjumlah RM25 bilion komitmen Malaysia pupuk ekonomi inklusif – MIDA
Ubah saiz-+=