UTEM LAHIRKAN GRADUAN BERJIWA USAHAWAN DIGITAL
AYER KEROH 5 Februari – Komitmen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam melaksanakan pelbagai inisiatif keusahawanan digital berjaya merangkul kejayaan berganda eUsahawan Best IHL Institution 2024 peringkat nasional daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, selain itu UTeM turut dinobatkan sebagai naib johan keseluruhan eUsahawan Best IHL Institution 2024.
Menurutnya, kejayaan itu menjadikan UTeM sebagai satu-satunya institusi akademik dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menerima anugerah dan pengiktirafan eUsahawan Best IHL Institution 2024 peringkat nasional daripada MDEC.
“UTeM secara berterusan melaksanakan program-program keusahawanan dan melahirkan usahawan digital inovatif serta berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut beliau berkata, satu lagi pencapaian yang memberikan impak besar dalam pembangunan keusahawanan melibatkan penuntut UTeM adalah kejayaan Najmi Husaini Koteng, pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik, diumumkan sebagai penerima anugerah ‘High Achiever eUsahawan Siswa 2024’.
Jelas beliau, pelajar terbabit dibimbing oleh Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid daripada Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan.
“Semua kejayaan ini mencerminkan semangat keusahawanan luar biasa dipamerkan oleh pelajar UTeM dalam dunia teknologi digital,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, latihan keusahawanan yang dianjurkan bukan sahaja melibatkan pelajar sebaliknya turut dikembangkan kepada peniaga sekitar Negeri Melaka.
“Hubungan erat antara UTeM dan MDEC memberi manfat kepada warga universiti ini termasuk menerusi aktiviti ‘reskilling dan upskilling’ kepada staf akademik yang mengajar dalam keusahawanan digital,” katanya.
Manakala Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) UTeM, Dr. Isma Addi Jumbri berkata, CREATE merakamkan penghargaan kepada MDEC atas anugerah dan pengiktirafan diberikan.
“Pelajar dan warga UTeM sentiasa menunjukkan minat terhadap program anjuran CREATE dan MDEC, kejayaan dicapai adalah hasil komitmen semua selama ini,” katanya.
Kejayaan itu melayakkan UTeM menerima dua piala dan dua sijil kemenangan disampaikan Pengarah Bakat Digital dan Keusahawanan MDEC, Ts. Nik Naharudin Mohd Nasir pada Malam Apresiasi MDEC 2025 baru-baru ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.