UTeM julang nama negara terima anugerah utama AEA 2021

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 17 Sept. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjulang nama Malaysia apabila merangkul anugerah utama di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2021, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir Dr. Ghazali Omar berkata, penyertaan universiti dalam pertandingan dianjurkan oleh Pusat Tenaga ASEAN (ACE)  telah memenangi kategori Pengurusan Tenaga (Energy Management in Large Building).

Katanya, kemenangan itu telah diumumkan secara maya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-39, baru-baru ini yang dihoskan Brunei.

GHAZALI (tengah) bersama Mohd Rahimi (dua dari kiri). Foto-UTeM.

“AEA merupakan anugerah tertinggi di peringkat Asia Tenggara untuk mendorong dan mengiktiraf penyertaan dan minat sektor awam dan swasta dalam pembangunan tenaga di rantau Asia Tenggara.

“Antara faktor utama yang membawa kemenangan UTeM hingga peringkat ini adalah kerana UTeM telah membawa satu anjakan baharu yang lebih komprehensif dan unik bagi kelestarian pengurusan tenaga untuk bangunan-bangunan besar di kampus universiti.

“Rentetan itu terhasilnya impak hebat kepada pengurangan penggunaan tenaga secara konsisten di samping pelaksanaan program-program efektif lain yang dijayakan bersama seluruh warga UTeM merangkumi semua staf dan pelajar dengan slogan ‘Bangkit Bersama, Cekap Tenaga’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) UTeM, Prof Madya Ts Mohd Rahimi Yusoff berkata, kejayaan UTeM di peringkat Asia Tenggara sekali gus memberi impak besar buat UTeM dan Malaysia serta dunia.

Ujarnya, UTeM kini menjadi sumber rujukan kepada institusi dan organisasi lain untuk berkerjasama dalam menjayakan program kelestarian pengurusan tenaga.

Ia sekali gus turut memberikan kelebihan buat Malaysia bagi mempromosikan program pengurusan tenaga lestari di peringkat antarabangsa di samping menjadi sumber rujukan di rantau Asia Tenggara.

“UTeM kini turut memfokuskan ke arah menjadi institusi yang cemerlang dalam penyelidikan dan amalan berkaitan Demand Side Management (DSM) dan mencapai UTeM Seven Strategic Goal (SSG).

“Untuk tempoh lima tahun akan datang UTeM menyasarkan untuk menjadi antara 50 universiti terbaik di dunia dalam UI GreenMetric ranking,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post DUN Melaka : 64 soalan menanti Exco Kesihatan
Next post Penuntut UTHM maut digilis lori
Ubah saiz-+=