Sorting by

×

UTEM JUARA MENARA TAMING SARI ‘URBAN HUNT’

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Oktober – Cabaran Menara Taming Sari ‘Urban Hunt’ menutup tirainya petang semalam dengan menyaksikan kumpulan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi juara bagi pertandingan edisi kedua ini.

Selaku juara, kumpulan UTeM membawa pulang hadiah bernilai RM1,500, sementara itu tempat kedua menjadi milik kumpulan dari Imperial Heritage Hotel telah menerima hadiah RM1,000 dan manakala tempat ketiga digondol oleh kumpulan jabatan Kesihatan Negeri Melaka membawa pulang hadiah RM500.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad menyatakan penghargaan kepada Tourism Malaysia serta Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka kerana terus menyokong usaha MTSB dalam melaksana program yang berkaitan dengan promosi pelancongan di negeri Hang Tuah ini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tourism Malaysia kerana menyokong inisiatif MTSB dengan memberikan geran bagi kami menganjurkan program ini.

“Tidak lupa kepada BPP Melaka kerana terus memberikan sokongan kepada MTSB sebagai usaha merancakkan lagi promosi pelancongan di Melaka amnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Menara Taming Sari ‘Urban Hunt’ di sebuah hotel di sini.

Img 20241026 233701 666
NASRUL (kanan) ketika menyampaikan hadiah kepada kumpulan UTeM yang menjadi juara bagi pertandingan Menara Taming Sari ‘Urban Hunt’ bagi edisi kali ini.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MTSB merangkap Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam, Ahli Lembaga Pengarah MTSB merangkap Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir merangkap Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron.

Katanya, MTSB akan terus melaksana pelbagai program pada masa akan datang dan sekurang-kurangnya satu program setiap bulan.

“Saya telah meletakkan sasaran kepada kakitangan pemasaran dan pengurusan MTSB untuk laksana satu program setiap bulan dan Alhamdulillah mereka berjaya memenuhi sasaran tersebut.

“Kalau bulan lepas (September) MTSB laksana program Fun Ride manakala untuk bulan ini kami laksanakan program Menara Taming Sari ‘Urban Hunt’, dan kami ada dua bulan lagi iaitu November serta Disember sebelum menutup tirai Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” ulasnya.

Penganjuran Menara Taming Sari ‘Urban Hunt’ kali ini melibatkan penyertaan 26 kumpulan dan setiap mereka perlu melengkapkan beberapa tugasan di sekitar daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah, melibatkan perjalanan lebih 100 kilometer.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post ICAF 2024: SUNGAI MELAKA PENUH WARNA-WARNI
Next post 5,000 BANGKITKAN KEMBALI KEMERIAHAN TAMAN EKSTREM TASIK CHINCHIN
Ubah saiz-+=