UTeM jalin kerjasama dengan 3 institusi pendidikan tinggi TVET Jerman
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata tiga institusi iyu terdiri daripada University of Applied Sciences Kaiserslautern (HSKL), Aschaffenburg University of Applied Sciences (UAS) dan Kiel University of Applied Sciences (FH Kiel).
“Ketiga-tiga MoU itu ditandatangani sewaktu lawatan kerja Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) TVET Termaju bersama delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke negara itu.
“MoU ini tertumpu kepada skop pendidikan antarabangsa, penyelidikan dan aktiviti berkaitan seperti mobiliti pelajar terutamanya dalam bidang informatik, kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan mekanikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama itu juga menjurus kepada usaha menyemarakkan aktiviti dan projek antarabangsa dengan memberi lebih penekanan kepada pengantarabangsaan pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi elektronik dan komputer.
Massila berkata usaha itu turut memberi penekanan dalam konteks mempromosi dan membangunkan penyelidikan, kerjasama teknikal dan pendidikan serta memfokuskan aspek perkongsian peluang dalam bidang kejuruteraan elektronik, teknologi maklumat, sains komputer dan disiplin lain.
“Pada masa yang sama delegasi turut memperkenalkan MTUN kepada FH Kiel di samping meneliti dan menanda aras pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) di sana bersama dengan pengisian kerjasama terutamanya dalam bidang penyelidikan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.