UTeM dokong gagasan Malaysia Madani

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 27 Februari – Menjajar Universiti Melonjak ke Hadapan, Menjulang Visi Memadani Malaysia merupakan tema Amanat Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi tahun 2023, disampaikan baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM mendokong gagasan Malaysia Madani dan menjadikan pembentukan Malaysia Madani sebagai tanggung jawab serta agenda perdana universiti itu.

Jelasnya, warga UTeM yang prihatin perkembangan semasa mestilah menghayati intipati konsep Malaysia Madani dan menerapkannya ke dalam organisasi itu.

Ujarnya, mengambil mandat perutusan Menteri Pengajian Tinggi pula UTeM sebagai universiti awam dan warga KPT pasti mengambil kira kesemua 11 fokus utama tersebut dalam perancangan dan pelaksanaannya.

Katanya, 5 Teras Strategik UTeM yang dibangunkan adalah seiringan dengan 11 fokus utama yang telah diaspirasikan oleh Menteri Pengajian Tinggi.

“Lima teras itu ialah memperkasakan TVET, meluncur kerjaya; mempromosikan RICE, menjana pendapatan; menjuarai khidmat insani, mengundang kesejahteraan; mencetuskan ekosistem rancak, melestarikan universiti; dan mengembangkan nilai, menggamit kemakmuran.

“Lima teras ini telah dirangka dengan teliti dan mengambil kira segala aspek keperluan dan kepentingan, bagi memastikan masa depan universiti terus berdaya saing, relevan, menepati kehendak pemegang taruh serta lebih terserlah di peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Ianya berkait langsung dan berkeupayaan dalam proses menjajar universiti melonjak ke hadapan serta menjulang visi UTeM dan Memadani Malaysia,” ujarnya dalam ucapan amanat Naib Canselor yang disampaikan di Dewan Canselor UTeM, di sini, disampaikan dihadapan 1,700 warga UTeM.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Ggazali Omar dan Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat.

Beliau turut menghuraikan pemadanan pengisian lima Teras Strategik UTeM dan pencapaian semasa UTeM selari dengan kesemua elemen 11 fokus utama Menteri pengajian Tinggi secara terperinci.

Dr Massila berkata keyakinan dan kesediaan UTeM menyambut baik serta bergerak sepenuhnya dalam mencapai 11 faktor utama tersebut.

Sementara itu Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) UTeM, Datin Wira Ts. Nurazlina Md Sanusi berkata, pelaksanaan majlis ini berjalan dengan jayanya seperti dirancang.

Katanya, ini merupakan program tahunan UTeM yang mana menghimpunkan seluruh warga kerja UTeM, wakil pelajar dan alumni UTeM bagi mendengar aspirasi semasa dan gerak kerja komprehensif bagi mencapai aspirasi UTeM dan KPT.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1730
Kongsi :
Previous post Tenis bukan lagi sukan golongan elit
Next post Dua lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan
Ubah saiz-+=