Sorting by

×

UTeM dan AMIC teroka teknologi aeroangkasa dunia

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 September – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) bagi berkongsi kepakaran dalam penerokaan teknologi aeroangkasa dunia.

Selari itu satu majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan AMIC diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena Malaysia Aerospace Summit 2022 (MyAERO’22), baru-baru ini.

Pada majlis tersebut UTeM diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar manakala AMIC diwakili oleh pengerusinya Tan Sri Datuk Dr. Ir. Ahmad Tajudin Ali dan disaksikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr. Ghazali berkata, melalui pemeteraian MoU tersebut, UTeM menerusi Pusat Pembuatan Termaju (AMC) merangka kerjasama strategik dengan AMIC membabitkan penubuhan makmal perindustrian bagi menjalankan aktiviti pembangunan komposit aeroangkasa.

“Usaha sama ini bakal menyaksikan wujudnya sebuah makmal industri-akademik yang pertama di Malaysia dalam pengkhususan bidang aeroangkasa termasuklah perkongsian kepakaran dan pemindahan ilmu serta teknologi antara kedua-dua pihak.

“MoU itu juga akan membuka peluang kepada UTeM untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama teknologi pembuatan termaju seterusnya menjadi hab penyelidikan dalam bidang aeroangkasa di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ir. Ahmad Tajudin pula menyatakan keyakinan kerjasama antara UTeM dan AMIC mempunyai potensi berimpak tinggi yang mana kedua-dua institusi sentiasa memberi penekanan yang kuat terhadap nilai inovasi berkait teknologi serta pendidikan.

“Berikutan itu AMIC sentiasa berkerjasama rapat dengan universiti selari dengan usaha kerajaan dalam menggiatkan pertumbuhan industri aeroangkasa menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Persidangan MyAERO’22 menghimpunkan pemain utama dalam industri aeroangkasa tempatan dan luar negara dengan objektif mengangkat potensi Malaysia sebagai pusat serantau dan bersepadu sekaligus menzahirkan peranan penting dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1979
Kongsi :
Previous post Maritim Malaysia tunjuk kemahiran menembak
Next post MBMB proaktif tangani sampah, vandalisme pada Sambutan Hari Malaysia 2022
Ubah saiz-+=