UTEM BANTU NURUL BALQISH SAMBUNG PENGAJIAN

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 September – Menyelami keperitan hidup dan kesempitan kewangan yang dialami Nurul Balqish Hairulnizam, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tampil menghulurkan bantuan untuk anak muda itu memulakan pengajian di universiti berkenaan.

Nurul Balqish, 22, sebelum ini ditawarkan pengajian di UTeM, namun memilih untuk melupakan tawaran itu kerana mengenang kepayahan hidup keluarganya, di mana ibunya yang hanya mengambil upah mengasuh anak orang, selain adiknya masih bersekolah.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Nurul Balqish bakal menyambung pengajian di UTeM bermula Oktober dan bakal menerima enam pakej bantuan komprehensif.

Ujar Massila, UTeM sentiasa prihatin dan sedia membantu pelajar ini bagi memastikan beliau boleh memulakan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan yang telah ditawarkan kepada Nurul Balqish sebelum ini.

“Kesempitan hidup bukanlah penghalang untuk beliau melanjutkan pengajian di sini kerana dengan pendidikan tinggi inilah yang akan menjadi jambatan buatnya mengubah nasib keluarganya nanti.

“Untuk bantuan ini UTeM menyalurkan enam pakej bantuan komprehensif yang terdiri daripada Biasiswa Derma Siswa B40 TVET, bantuan wang tunai RM1,500 sebagai bantuan awal bagi kegunaan persiapan awal memulakan pengajian dan bantuan komputer riba.

“Kami turut menyampaikan bantuan Food bank serta menawarkan kemudahan asrama kepada beliau bermula dari semester satu sehinggalah tamat pengajian di samping menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling motivasi dan kerjaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Massila turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir di atas keprihatinan kepada kebajikan pelajar UTeM yang mana melalui Pegawai Tugas-tugas Khasnya, Salahuddin Saufry Hamzah secara langsung membuat panggilan video dengan memberi kata-kata semangat dan peransang kepada Nurul Balqis untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya.

Tambah Massila, UTeM sememangnya dikenali sebagai universiti yang sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek penjagaan kebajikan kumpulan mahasiswa dan mahasiswi.

“Tindakan pro aktif kami sentiasa seiringan dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi agar sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek kebajikan pelajar dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pakej bantuan tersebut telah disampaikan terus oleh wakil UTeM di rumah pelajar berkenaan di Pontian, Johor, petang semalam.

Kunjungan UTeM itu dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif bersama Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Profesor Dr Hambali Arep@Ariff.

Sementara itu, Nurul Balqish sama sekali tidak menyangka bakal menerima kunjungan pihak UTeM ke rumahnya, selain turut memberikan pakej bantuan yang amat bermakna untuknya dan keluarga.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UTeM, Dr Massila dan pihak HEPA kerana menyelami keperitan hidup saya dan menghulurkan bantuan yang amat berharga buat saya.

“Ini adalah peluang besar buat saya menzahirkan keazaman dan cita-cita untuk memulakan pengajian tinggi dan berazam untuk mengubah nasib keluarga di masa akan datang,” ujarnya.

Ibu Balqish, Julie Jamaluddin mengucapkan rasa syukur dan turut berterima kasih kepada pihak UTeM yang terlalu prihatin dan terus menyampaikan bantuan awal kepada anaknya.

“Ini merupakan rezeki yang sama sekali tidak diduga oleh kami dan saya mendoakan agar anak saya cemerlang belajar di UTeM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

116
Kongsi :
Previous post HANG TUAH CENTRE DIBUKA SEMULA 1 OKTOBER
Next post TUKUN TIRUAN JAGA HABITAT TAMAN LAUT MELAKA
Ubah saiz-+=