UTeM bangunkan VEDIWARD bantu cegah kemalangan lori

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DURIAN TUNGGAL 25 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan membangunkan sebuah prototaip pengesan dan penggera ketidakstabilan lori yang dikenali sebagai VEDIWARD bagi membantu mengurangkan insiden kemalangan jalan raya.

Pengesan itu hasil daripada penyelidikan yang diketuai Pensyarah Kanan UTeM, Dr Mohamad Hafiz Harun dan disertai enam lagi penyelidik dari fakulti sama iaitu Ahmad Zul Husni Che Mamat, Dr Fauzi Ahmad, Mohd Hanif Che Hasan, Mohammad Rafi Omar, Qamar Fairuz Zahmani dan Muhammad Rabbani Abd Rasid.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sebagai universiti awam teknikal pertama di Malaysia, UTeM terus menzahirkan kepakaran penyelidiknya dalam bidang penyelidikan dan inovasi bagi membantu komuniti yang memerlukan.

Jelasnya, terbaharu pembangunan VEDIWARD ini dilihat sebagai salah satu kaedah yang mampu membantu pemandu lori dan kenderaan perdagangan dalam negara memastikan pemanduan yang lebih selamat seterusnya mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

“Dengan pembangunan prototaip ini ianya memberikan gambaran bahawa menerusi inovasi dan teknologi kita mampu membantu mencorak keadaan pemanduan yang selamat buat semua,” katanya.

MOHAMAD Hafiz melakukan kerja pemasangan produk VEDIWARD pada lori.

Sementara itu, Mohamad Hafiz berkata menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian manusia yang menyumbang sebanyak 80.6 peratus manakala 13.2 peratus disebabkan oleh faktor keadaan jalan raya dan 6.2 peratus disebabkan faktor keadaan kenderaan.

Katanya, berdasarkan senario tersebut pihaknya menjalankan inisiatif untuk membangunkan VEDIWARD bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya disebabkan faktor kecuaian manusia terutama melibatkan lori.

“VEDIWARD adalah alat pengesan dan penggera ketidakstabilan kenderaan yang efektif terutamanya apabila digunakan pada lori dan kenderaan perdagangan, ianya dapat membantu pemandu untuk mencegah kemalangan jalan raya.

“Dengan rekabentuk yang kompak dan penggera yang mudah dilihat, pastinya dapat membantu pemandu memberikan amaran awal yang jelas sebelum berlakunya kemalangan,” ujarnya lagi kepada media baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya sistem amaran dihasilkan oleh VEDIWARD menggunakan suara manusia yang jelas dapat membantu pemandu membetulkan pemanduan sebelum berlakunya kemalangan.

Katanya, suara amaran ini boleh disesuaikan dengan bahasa yang mudah difahami oleh pemandu tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1453
Kongsi :
Previous post Kekurangan bekalan: Ada peniaga jual ayam melebihi harga siling
Next post Lelaki maut ditembak di hadapan restoran
Ubah saiz-+=