UTeM bangunkan ruang bacaan di Masjid Al-Ghaffar, Jasin
DURIAN TUNGGAL 25 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlahkan peranan dan cakna kepada komuniti setempat dengan menjayakan projek komuniti membangunkan ruang bacaan di Masjid Al Ghaffar, Jasin, baru-baru ini.
Projek Komuniti membangunkan ruang bacaan yang dikenali ‘Sudut Hikmah’ itu dibangunkan oleh seramai 12 orang staf Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) UTeM dan dibantu oleh ahli jawatakuasa masjid ini.
Timbalan Ketua Pustakawan PLH UTeM, Siti Saluwa Jamal berkata, antara objektif program ini adalah melaksanakan tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat khususnya sekitar UTeM.
Jelasnya, ianya bagi menyokong pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat di samping menggalakkan keterlibatan staf perpustakaan dalam program yang berbentuk perkhidmatan kepada komuniti.
Ujarnya, aktiviti yang telah dijalankan melibatkan gerak kerja menaiktaraf sudut bacaan sedia ada dengan penambahan peralatan bagi menceriakan sudut bacaan masjid dan PLH UTeM juga telah menyumbangkan sebanyak 256 naskah bahan bacaan.
“Projek ini merupakan pertama kali dilaksanakan di institusi masjid berbanding sebelum ini hanya berfokus kepada sekolah-sekolah di sekitar negeri Melaka.
“Semoga usaha yang dijalankan dapat memberi manfaat dan impak kepada semua pihak khususnya kepada komuniti dan diharapkan dapat memupuk perasaan muhibah antara komuniti dan warga universiti,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.