UTeM bangunkan Reruai Saringan Covid-19 di Hospital Melaka
PERINGGIT 1 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah membangunkan ‘Reruai Saringan Covid-19 di Hospital Melaka, yang mampu menapis zarah sekecil 0.12 micron.
Jelas Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim, reruai itu dibuat khusus untuk para doktor menyaring pesakit yang disyaki dijangkit Covid-19.
“Reruai ini dapat kurangkan beban doktor, ia selamat digunakan kerana dilengkapi penapis ‘ULPA’ yang dipercayai mempunyai tahap efisien tinggi menapis zarah bersaiz 0.12 micron.
“Ia dilengkapi mikrofon tanpa wayar untuk komunikasi antara doktor dan pesakit serta lampu dan penghawa dingin untuk keselesaan doktor menjalankan tugas,” katanya.
Raha berkata, penyelidikan dan inovasi ini dibangunkan atas kerjasama penyelidikan UTeM dan Hospital Melaka dalam bidang ‘tele-medicine’ dan ‘tele-health’.
“Projek ini dibangunkan UTeM dengan kerjasama rakan industri, AFA Technologies Sdn. Bhd. dan ALPRO Engineering Sdn. Bhd. dengan nasihat dari Hospital Melaka.
“Pembangunan reruai ini mengambil masa selama 3 bulan,” katanya lagi.
Reruai Saringan Covid 19 itu diserah secara rasminya oleh UTeM dan industri terlibat kepada Hospital Melaka pada 24 Jun lalu.
Penyerahan itu disaksikan Ketua Unit Kejuruteraan Operasi Hospital Melaka, Ir. Ahmad Nizam Isa, Ketua Pusat Kecemerlangan (CoE) UTeM, Prof. Dr Zahriladha Zakaria dan lain-lain.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan (iv) Hospital Melaka, Dr. Mohd Rosli Tompang berkata, pembangunan reruai itu penting bagi pihak hospital yang akan menggunakannya secara optimum.
“Setiap pesakit yang menjalani pembedahan akan melalui saringan Covid-19, justeru dengan adanya reruai sekali gus memberi kemudahan dan melancarkan keberkesanan operasi kami,” katanya.