UTAMAKAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK DUN MERLIMAU
AYER KEROH 29 Disember – Mengurangkan jumlah murid belum menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) antara fokus Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Menerusi hantaran video di Facebook beliau baru-baru ini, Dr. Muhamad Akmal berkata, menjadi tanggungjawab semua membantu pihak sekolah untuk memastikan anak-anak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menguasai 3M yang juga asas dalam pendidikan.
Jelas beliau, dua inisiatif akan dilaksanakan bagi mencapai objektif berkenaan iaitu menganjurkan kelas pemulihan untuk sekolah di Jasin dari lima ke sembilan kali dalam tempoh tiga bulan.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, inisiatif kedua pula adalah mengadakan kelas membaca untuk anak-anak DUN Merlimau berusia 6 tahun secara percuma.
“Tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin kerana berjaya menurunkan jumlah murid belum menguasai 3M. Antara fokus saya adalah anak-anak berusia enam tahun yang akan memasuki tujuh tahun dan melangkah ke alam persekolahan belum menguasai 3M.
“Diharapkan menerusi kelas tambahan akan dianjurkan nanti mereka akan menguasai 3M selepas masuk ke sekolah.
“Kepada ibu bapa yang anak mereka belum menguasai 3M jangan malu atau segan jom ke kelas tambahan Dr. Akmal, semuanya percuma, pendidikan anak-anak kita amat penting,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.