Utamakan pembersihan pasar awam

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TABOH NANING 31 Julai – Peniaga dan komuniti sekitar diminta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan aspek kebersihan dan keceriaan persekitaran pasar awam di negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, aspek kebersihan juga perlu dipikul peniaga serta komuniti di kawasan terlibat.

“Memang menjadi harapan saya untuk melihat pasar awam di negeri ini sebagai satu lokasi yang bersih, ceria dan kondusif untuk dikunjungi. Diharapkan hasil kempen kebersihan pasar awam yang kita laksanakan ia mampu memberikan impak kepada semua pihak.

“Selepas ini program kebersihan pasar awam boleh dilaksanakan secara bergotong-rotong dan berterusan, dengan sokongan padu daripada masyarakat setempat perkara ini boleh direalisasikan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kempen Pasar Awam Bersih Peringkat MPAG 2024 di Pasar Awam Simpang Empat, pada Ahad.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim; Ketua WHIP Clr. Ghafar Ngah dan Ahli-ahli Majlis MPAG; Setiausaha Radzyma Mahat dan Ketua-ketua jabatan MPAG.

Program tersebut melibatkan semua peniaga Pasar Awam Simpang Empat dan turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah; Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), SWM Environment Sdn Bhd; peniaga dan pengunjung Pasar Awam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning turut menasihatkan peniaga, agar mematuhi syarat-syarat lesen dan perjanjian sewaan premis.

Selain itu beliau memaklumkan, MPAG turut memperkenalkan Pusat Inovasi Inisiatif dan Mesra Alam bagi Program Pengkomposan Sisa Organik serta Kitar Semula di Pasar Awam Simpang Empat.

Menurutnya, inovasi itu diperkenalkan bagi mengurangkan kuantiti sampah di pasar awam menggunakan kaedah ‘takakura’ dan kitar semula.

“Bermula 11 sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 40 kilogram sisa organik seperti sayur-sayuran, hampas kelapa dan sisa makanan dapat dikurangkan hasil program pengkomposan sisa organik yang telah dijalankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post Penipuan dalam talian penyumbang terbesar jenayah komersial di Johor
Next post Sate motosikal warisan arwah ayah
Ubah saiz-+=